Hari Untukku
16 September 2011.
Syukur Alhamdulillah. Genap usiaku yang ke 27 dan aku masih diberi peluang dan dipinjamkan nyawa sehingga ke hari ini.
Diberi kesempatan untuk memperbaiki diri dan mendalami  erti kehidupan yang sebenar.
Kebahagiaan, Kejayaan,  Kegagalan, Penderitaan,  adalah rencah yang harus ku harungi di dalam kehidupan yang fana ini.
Walau terkadang aku lemah dan khilaf mentafsir dugaan yang diberi untukku namun ku tahu, Engkau sentiasa ada di saat susah senang hamba mu ini.
Aku sentiasa sedar di dalam kehidupan ini, Allah sering menguji hambaNya samada aku sebagai manusia mampu hadapi setiap ujian-Nya atau pun tewas di pertengahan jalan.
Saat aku diuji dengan kesusahan, Insya-Allah aku  mampu hadapi, walau rebah beribu kali aku masih mampu bangkit berdiri.  Namun di saat Allah berikan ujian dengan kejayaan  aku bimbang akan tewas dengan ujian nya yang satu ini. Khuatir aku akan terlupa pada rumput yang dulunya ku pijak, dan hanya memandang pada langit yang tidak tercapai tangan..
Jangan. Jangan biar aku hanyut dan menjadi seseorang yang bermegah pada sesuatu yang bukan abadi. Rendah diri. Rendah kan diri serendah mutiara di lautan dan kembali ke pangkal jalan.
Bukakan mata hati agar aku berubah kearah kebaikan. Dan menuju ke jalan yang di Redhai Mu, Ya Rabb.
“Ingat tujuan kita hidup” Peringatan dari seseorang yang tidak pernah aku lupakan…
………………………..
Sambutan Kemerdekaan kali ke-54 disambut dan diraikan sempena Hari 1 Malaysia pada 16 September ini. Dan aku turut merasai kemeriahannya  walau aku tidak hadir pada majlis sambutan tersebut.
Berkuatkuasa pada tahun lalu, 16 September diistiharkan sebagai hari Cuti Umum, dan aku salah seorang yang bertuah kerana tarikh kelahiranku sama tarikh dengan penubuhan MALAYSIA.
Salam Kemerdekaan ke-54, Selamat hari Malaysia dan Selamat Ulangtahun ke-27 Buat Diriku.

Aku Anak Merdeka,
Suhaida
Minta dijauhkan
Doktor  :  Kamu ni ada simptom tibi…

Pesakit : tibi? *macam nak pitam*

Kerana batuk  berpanjangan yang melebihi sebulan sehingga menyakitkan dan menyesakkan dada, menyebabkan aku mengambil keputusan untuk bertemu pakar perubatan. Namun kata-kata yang meluncur dari sebalik facemask itu menyebabkan aku terkesima. 

Katanya, tahap kesihatan yang aku miliki memang menjerumus ke symptom batuk kering atau lebih dikenali sebagai TIBI. Antaranya, batuk yang melebihi sebulan, penurunan berat badan yang banyak, dan sakit dada yang aku alami.

Dan di situ juga, sampel darah ku diambil, dan Xray dilakukan. Dan 3 hari berturut-turut aku perlu datang ke klinik untuk hantar specimen dan jalankan sedikit rawatan serta diberi stok ubatan yang banyak.

Keputusan menunjukkan aku sihat. Alhamdulillah. 

Namun aku perlu hadir ke pusat perubatan itu selepas 2 minggu, untuk mendapatkan keputusan sebenar Xray yang telah dihantar ke Hospital Besar bagi memastikan aku benar-benar sihat.  Aku berdoa semoga tubuh ku dijauhkan dari penyakit dan diberikan kesihatan oleh-Nya. Insya-Allah.

Dan kini, setelah ubatan diperolehi dan aku ambil mengikut waktu yang ditetapkan, batuk ku semakin pulih dan tiada lagi batuk berpanjangan di sepertiga malam yang sering mengganggu tidur lenaku. Mungkin jika aku pergi awal mendapatkan rawatan, tentu sakitnya tidak melarat seperti kelmarin.

Benarlah kata-kata “Mencegah lebih baik dari mengubati”. 

Dan pesan ibu, “sakit terus jumpa doctor, jangan tahan sorang-sorang, anak mak ni tinggal sorang-sorang kat  sana, tak ada orang yang jaga. Jaga kesihatan baik-baik”

Baik mak. :(

Seorang rakan pula menyaran supaya aku mendapatkan rawatan tradisional di Darul Syifa kerana khuatir aku terkena buatan seseorang yang cuba mengkhianat diriku. Katanya mungkin seseorang itu cuba menghancurkan aku secara diam dan ia dari seseorang yang aku kenali. Aku tak terpikir sejauh itu. Mungkin tidak.

Aku beri masa dalam 2 minggu pada diri aku bagi membuktikan bahawa aku hanya mengalami batuk biasa dan ia bukanlah tibi atau buatan orang. Minta dijauhkan.


p/s : Doa, Usaha dan Tawakal, itu perlu! Tak boleh biar baik sendiri, sebab sistem imun dalam badan dah semakin teruk.


9/9/2011 
Ucapan Maaf
Memohon maaf dan sifat memaafkan kesalahan orang lain merupakan amalan yang sangat mulia. Secara tidak langsung, ia dapat menundukkan rasa angkuh dalam diri yang merasakan seolah-olah kita tidak pernah melakukan kesalahan dan bersalah, dan perasaan yang tidak bersedia memaafkan kesalahan orang lain.

Maka, jadikanlah bulan Syawal yang mulia ini sebagai titik permulaan anda membuka mata hati meminta maaf dan memaafkan dengan setulus hati. Moga tiada noda hitam yang bersarang di dalam hati. Lepaskan segala kemarahan dan dendam yang sering menghantui anda. Semoga anda tenang dalam melayari kehidupan ini.


Ya, benar dan ku akui jika hati dan raga sudah terluka, namun bekas luka dan calarnya tetap ada. Meminta maaf setara kita meminta jiwa seseorang, dan ia tidak semudah yang disangka. Namun, Ikhlaskan lah hati. Insya-Allah kita mampu.


Dan dikesempatan ini, diri ini menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dan keampunan pada rakan-rakan dan yang mengenali diri ini seandainya diri ini pernah menyinggung, menyakiti hati samada dengan sedar atau tanpa sedar. Sesungguhnya diri ini hanya la manusia biasa dan insan hina di sisi Allah yang tidak pernah terlepas melakukan kesilapan dan kekhilafan..


Maaf dari hati.


Salam Aidilfitri dari Suhaida Mohamed.


p/s: Sangat sibuk sepanjang cuti raya ni, tak menang tangan. Raya tahun ini tetap disambut meriah dengan cara yang sederhana seperti tahun2 lalu.